Di Celah-Celah Kesibukan Kilang

DI CELAH-CELAH KESIBUKAN KILANG(Sebuah blog kehidupan yang memuatkan beberapa koleksi tulisan Monier Mat Din)

10/09/2009

Jalan-Jalan Masuk Kg: Demi Anak, Ku Rela Dipijak Gajah

Di minggu terakhir bulan Disember 2004, syarikat tempat saya bekerja mengumumkan bonus tahunan untuk tahun ini, yang tertinggi jumlahnya semenjak ianya beroperasi di sini. Seorang rakan sekerja kemudiannya datang berjumpa saya menyatakan hasratnya ingin menyumbangkan sedikit bahagian daripada wang bonusnya itu untuk mereka-mereka yang memerlukan, khususnya masyarakat marhain di pedalaman Baling, daerah

kelahiran saya.

Lalu, pada hari sabtu tanggal 25 Dis 2004, sempena cuti Krismas, saya bersama-sama dengan beberapa orang rakan mengambil keputusan untuk ke Baling lagi. Kali

ini saya bawa sahabat-sahabat saya itu ke rumah seorang ibu tunggal yang saya panggil Kak Zariah, 42 tahun di Kampung Kuala Kuang, Baling Kedah.

Kak Zariah mempunyai 5 orang anak: Mohd Zabidi (ting 2) Mohd Zaini (ting 1), Mohd Zulhairi (darjah 4), MohdIzad (darjah 1) dan Khairunnizad (perempuan - 4 tahun). Setelah kematian suaminya, Kak Zariah menyara hidup beliau dan anak-anak dengan hasil menoreh getah di kebun orang.

Pendapatan bulanan: kalau tak hujan, jika dapat menoreh berterusan, seminggu dapatlah dalam RM100, bahagi dua dengan tuan kebun, dapatlah RM50. Itu pun kalau tak hujan, kalau hujan RM200 sebulan pun belum tentu. Bila ditanya mengenai arwah suaminya,

sedar tak sedar baru beliau perasan - suaminya pulang ke rahmatullah exactly satu tahun sebelum itu iaitu pada hari Krismas 25 Dec 2003. What a coincidence, lawatan kami tepat pada hari anniversary pemergian suaminya ke hadrat Illahi.

Apabila timbul pertanyaan mengenai suaminya, secara tiba-tiba dapat dilihat wajah sayu datang bertandang di mukanya; mungkin pertanyaan kami itu menggamit rasa duka di hati, atau pun mungkin secara tiba-tiba kenangan bersama suami datang menerpa tanpa diundang. Apa tidaknya semenjak ketiadaan alllahyarham, selama satu tahun ini beliau menjadi ibu dan ayah kepada anak-anak tersayang.

Kalaulah ada arwah, tentunya Kak Zariah tidak lagi perlu berseorangan mengambil upah menoreh di pokok orang, dan tentunya ada rakan untuk menemaninya tatkala heboh satu negara kisah gajah mengamuk di Kampung Kuala Kuang, Baling Kedah hinggakan keluar berita muka hadapan suratkhabar Berita Harian (lihat gambar).

Sebetulnya semasa kami ke sana, Kak Zariah baru saja keluar ke jalan besar dari kawasan hutan getah yang diusahakannya. Kami terus mengajak beliau ke kebunnya hendak melihat kesan-kesan tapak kaki gajah sekiranya masih ada. Tapi menurut Kak Zariah

beliau tak pernah terserempak dengan binatang gajah itu, cuma biasalah kadang-kadang waktu sedang menoreh, kata Kak Zariah: "Mata dok kerling kiri kanan, tunggu masa nak cabut lari", bila jelas terdengar di telinganya suara gajah bertempik sedang mematahkan pokok-pokok kayu di kebun berhampiran. Bagi sesetengah orang, tentunya tidak sanggup; sudahlah seorang diri, perempuan pulak tu. Tapi, apakan daya demi anak-anak, demi sesuap nasi dan demi mencari rezeki, semuanya terpaksa digagahi.

Walaupun anak gajah yang mencuri kain persalinan seorang penoreh dan kemudian menyerang pegawai mergastua yang dihantar masuk itu sudah pun ditembak mati, tapi masih banyak lagi gajah-gajah liar di situ yang bila-bila masa sahaja boleh muncul keluar

dari kawasan Banjaran Bintang berdekatan mengganggu ketenteraman Kak Zariah dan rakan-rakan mencari makan.

Tapi, kali ini jika gajah-gajah itu muncul lagi, bukan kata Kak Zariah atau pun orang kampung, tapi pegawai mergastua sendiri tidak berani bertindak sebarangan. Ya lah, setelah muncul kisah gajah di Baling ditembak mati dalam akhbar tempatan, berbagai

kumpulan yang mengaku menjadi "Sahabat Haiwan" mengkritik keras tindakan berkenaan, kata mereka gajah pun punya hak asasi juga.

Kak Zariah mungkin tidak faham apa itu yang dikatakan sebagai hak asasi haiwan, tapi beliau yakin sebagai manusia, beliau dan orang-orang kampungnya ada juga mereka punya hak asasi, iaitu hak untuk mencari rezeki.

Sebetulnya, saya amat tertarik dengan kisah Kak Zariah ini, bukan kerana kisahnya sebagai seorang penoreh getah di kaki banjaran Bintang yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang, tapi kerana kisah perjuangan hidupnya sebagai seorang ibu tunggal

yang sanggup berhadapan dengan apa sahaja termasuk risiko dipijak gajah hutan, semata-mata untuk membesarkan anak-anak tersayang. Adalah dirasakan cerita Kak Zariah ini seharusnya dijadikan inspirasi oleh ibu-ibu tunggal dan juga semua kaum wanita di

luar sana. Teruk manalah sangat hidup kita di tengah kota ini kalau dibandingkan dengan beliau di pinggir hutan sana.

Kepada anak-anak perempuan saya, saya turut khabarkan kepada mereka kisah Makcik Zariah ini, tapi biasalah budak-budak perempuan: kadang-kadang kita pun tidak

paham; anak-anak saya itu yang sulung misalnya ada tali pinggang Tae Kwan do warna Hitam berbelang Merah, yang no dua tali pinggang Merah dan yang no tiga tali

pinggang Biru, tapi bukan kata Gajah, lipas mati saya acah nak lempar kat depa pun, habis pakat lari bertempiaran keliling rumah.

Sebenarnya kisah gajah mengamuk di Kg Kuala Kuang ini bukan perkara baru. Beberapa belas tahun yang silam, pernah keluar berita di akhbar tempatan kisah seorang pelajar Politeknik Ungku Omar, budak Kuala Kuang mati diamuk gajah di pinggir hutan. Masih saya ingat lagi kisah Johan anak Ustaz Ghani itu lembik dilanyak gajah tatkala masuk ke hutan mencari buah kerdas bersama rakan-rakan.

Saya ingatkan cerita gajah di Kg Kuala Kuang yg secara kebetulan bersebelahan dengan kampong Padang Dan, kampong kelahiran saya itu cumalah satu cerita lama daripada sebuah kisah silam. Saya ingatkan gajah sudah tiada lagi; saya ingatkan gajah-gajah di hutan berkenaan sudah pun lama menghilang sejajar dengan kepesatan "pembangunan" yang diwar-warkan oleh pelbagai "perkumpulan" yang pernah memegang tampuk

kekuasaan di daerah kelahiran saya ini.

Rupa-rupanya tidak - gajah masih ada lagi. Sedar tak sedar Baling masih tetap seperti dulu, Baling tak banyak berubah semenjak arwah ayah saya dan rakan-rakan turun melihat Mahasiswa berdemonstrasi dalam apa yang dikatakan sebagai Mogok Lapar penoreh dan petani di Baling pada tahun 1974, lebih kurang 30 tahun yang lalu. Entahlah, mungkin Baling memang sudah ditakdirkan sebegini sejak azali lagi.

Berbalik kpd kisah Kak Zariah, dengan pendapatan RM200 sebulan apalah yang mampu beliau lakukan. Nasib baik juga ada sedikit bantuan dari JKM, bolehlah Kak Zariah bernafas sedikit lega. Kasihan juga tengok anak-anaknya; sekolah nak buka dah tapi baju, kasut dan beg sekolah masih belum dibeli lagi.

Selain perbelanjaan nak masuk sekolah, dari segi kelengkapan rumah tidak ada apa sangat yang beliau perlukan. Rumah pusaka yang ditambah dapur oleh arwah suaminya itu agak selesa untuk beliau dan 5 orang anak-anaknya tinggal, cuma yang beliau agak

mengharapkan sekiranya ada yang sudi membantu ialah sebuah tandas dan bilik mandi yang sempurna seperti tandas dan bilik mandi di rumah jiran-jiran sekeliling.

Seganlah beliau, sudahlah janda, mandi pula di luar rumah tanpa dinding sebagai halangan. Tandas pula, lihatlah gambar yang disertakan ini, cuma bertutupkan

kain/kanvas buruk, kami nak tunjukkan pun naik segan.

Dalam perjalanan pulang dari rumah Kak Zariah, kami terserempak dengan seorang pakcik tua yang dipanggil PakJang Matsin. Secara kebetulan, beliau yang baru

pulang dari kebun menoreh ini adalah abang ipar kepada Kak Zariah. Bila ditanya tujuan kami datang itu, kami pun ceritalah kami ini sekadar datang hendak melihat

khabar dan membantu setakat yang termampu keluarga arwah adiknya ini. Kata PakJang Matsin:

"Kalau boleh tolong, tolonglah alhamdulillah!. Kami sini semua orang susah belaka, tapi anak-anak arwah Pakcik Ani tu anak-anak yatim, depa lagi susah, tolonglah depa!"

Kata beliau lagi:

"Kami nak tolong pun, kami pun motong (menoreh) juga; anak-anak ramai...kami pun susah juga"

Memang susah sungguh, lihatlah gambar PakJang Matsin ini; kasut pun tak pakai. Macam manalah agaknya beliau masuk hutan menoreh getah dengan hanya

berkaki ayam sahaja, dalam keadaan dada hutan yang penuh dengan pacat, binatang merayap, onak duri dan haiwan berbagai rupa?

Sebetulnya, itulah realiti kehidupan golongan Penoreh Getah di daerah Baling ini, yang masih tidak berubah seperti 30 tahun yang silam.

Tapi, itu bukanlah cerita yang ingin kita sampaikan. Mesej penting yang ingin kita tekankan di sini ialah kisah kecekalan seorang Ibu Tunggal di kaki Banjaran

Bintang yang sanggup berhadapan dengan apa sahaja demi anak-anak tersayang.

Moga kisah ketabahan dan keberanian Kak Zariah seorang ibu tunggal yang sanggup menyinsing lengan menghadapi kemungkinan diserang gajah hutan, demi mencari sesuap nasi untuk anak-anaknya ini akan dapat menjadi iktibar kepada kita semua yang saling

mengeluh dengan dunia pekerjaan kita yang berbagai ragam.

Apalah sangat tekanan dan pressure tempat kerja kita jika nak dibandingkan dengan apa yang Kak Zariah rasa. Teruk-teruk kita pun, di hujung bulan insyaallah ada mesin ATM menunggu kita, tapi Kak Zariah - bukan kata mesin ATM - mesin Basuh pun belum

tentu ada!

Bersyukurlah kita dengan apa yang ada.

Monier_matdin@yahoo.com

26 Dec 2004


1

No comments:

Post a Comment

Followers