Di Celah-Celah Kesibukan Kilang

DI CELAH-CELAH KESIBUKAN KILANG(Sebuah blog kehidupan yang memuatkan beberapa koleksi tulisan Monier Mat Din)

12/13/2012

Gambar Monier Mat Din Wargakilang disalahguna

PENAFIAN !!

Kepada: Semua Pihak Yang Berkaitan

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa saya Mohd Monier Bin Mat Din at moniermatdin@yahoo,com tidak ada kena mengena dengan phamlet yang disertakan di bawah ini, yang disebar di merata shopping compleks di seluruh negara oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambar saya (berbaju oren Wargakilang) sedang menemuramah sebuah keluarga miskin di Terengganu dalam phamlet mereka ini, bertujuan untuk meraih simpati bagi mengutip sumbangan perkumpulan mereka yang saya tidak kenal dan tidak ada kaitan dengannya.

Gambar tersebut dimuat turun dari blog saya tanpa kebenaran. Saya sudah pun menghubungi no hp yang tertera di bawah setelah dimaklumkan oleh seorang rakan yang mendapat phamplet ini di sebuah shopping compleks di Melaka dalam bulan ramadhan 2012, tetapi pada bulan November 2012 yang lalu saya masih ketemu pemungut derma dari kumpulan ADDIN MALAYSIA ini masih menggunakan phamplet yang sama di sebuah shopping compleks di Sungai Petani, Kedah.

Maka dengan itu, saya dengan menafikan dengan sekeras-kerasnya penglibatan saya dengan aktiviti kumpulan ini.

Harap maklum.



Yang Benar,
Mohd Monier Bin Mat Din
moniermatdin@yahoo.com


9/17/2012

Kisah Hidayah

Rentetan hidup mentakdirkan malam tadi adalah kali kedua saya berpeluang terlibat dalam proses pengislaman orang yang bukan Islam.

Kali pertama ialah sekitar enam tujuh tahun yang lalu bila mana seorang sahabat secara tiba-tiba menghubungi saya bertanya procedure dan cara mengislamkan seorang Engineer, Mat Salleh dari Amerika yang bekerja di kilang tempat kerjanya. Saya minta sahabat tersebut bawa Mat Salleh itu ke rumah saya, dan sebelum saya bawa beliau ke masjid untuk diIslamkan secara rasmi oleh Tok Imam, saya dulu yang mengajarnya dua kalimah shahadah.

Malam tadi, sekali lagi, saya terpilih untuk terlibat dalam majlis yang lebih kurang serupa, tapi kali ini melibatkan sepasang suami isteri tua rakyat tempatan di rumah sewa mereka, di sebuah taman perumahan bersebelahan. Kali ini saya hadir untuk dicatatkan nama sebagai saksi di atas pengislaman mereka yang dilakukan secara rasmi oleh Tuan Imam bertugas.

Apa yang ingin saya catatkan di sini ialah kisah di sebalik pengislaman dua orang suami isteri ini.

Asalnya, di awal Syawal yang lalu, anak bongsu mereka memilih untuk memeluk Islam dengan nama Muhammad Hidayat.

(Gambar Muhammad Hidayat dan Tuan Imam bersama sijil pengislamannya)

Muhammad Hidayat mempunyai 7 orang adik beradik, namun tuntutan hidup dan faktor keluarga mungkin, maka beliaulah yang bertanggungjawab membela dan menjaga kedua ibu dan ayahnya ini dari zaman mereka susah hinggalah sekarang di mana beliau mendapat kerja sebagai seorang wireman.

Walaupun gaji sebagai wireman tidak seberapa, tetapi setelah ditolak wang sewa rumah dan air api, cukuplah lebihannya untuk belanja makan minum mereka bertiga.

Ujian hidup dan dugaan pertama sebagai seorang Muslim barangkali, beberapa hari selepas beliau memeluk Islam, beliau terlibat dalam kemalangan jalanraya, motornya accident dengan lori – beliau patah sebelah kaki.

Dek kerana kemalangan tersebut, kini beliau terdampar di katil di ruang tamu rumahnya mengubat cara kampung, menunggu kakinya sembuh. Buat masa ini kedua ibu dan ayahnya inilah yang menjaga makan minum beliau.

Dua tiga hari lepas beliau dimaklumkan abang-abang dan saudara maranya nak ambik Ibu dan Ayahnya tinggal dengan mereka sebab Mumamad Hidayat masuk Islam tapi ibu dan ayahnya masih dengan agama lama.


(Ibu dan Ayah Muhammad Hidayat)

Muhammad Hidayat jadi serba salah, kalau mak dan ayahnya ini tidak tinggal bersama, dalam keadaan beliau masih belum pulih sempurna ini, siapa yang akan menguruskan makan minum harian beliau?

Kuasa Allah SWT barangkali, Muhammad Hidayat bagitau saya malam tadi – Ibunya cakap sebab selama ini waktu mereka susah hinggalah sekarang, Muhammad Hidayatlah yang bela, jaga dan uruskan makan minum kedua orang tua ini, terutamanya ayahnya yang lumpuh sebelah badan kena stroke dan tidak mampu bercakap, dijaga dan dibelainya mereka dengan penuh rasa kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, tanpa mengungkit atau pun menyakiti perasaan mereka; maka kata Ibunya:

“Biarlah Mak dan Ayah ikut kamu masuk Islam, supaya kami dapat tinggal dengan kamu – menjaga kamu di kala kamu sakit mahu pun senang – sebagaimana kamu menjaga kami dengan penuh kebaikan di kala kami susah dulu hinggalah sekarang!!”

Itulah puncanya HIDAYAH turun kepada kedua orang hamba Allah yang sedang berada di penghujung usia ini, semuanya kerana kesungguhan dan keikhlasan anak mereka Muhammad Hidayat ini menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

Hebat rupanya kesan kasih sayang ini; mungkin kerana itu agaknya ada satu ayat dalam dalam Al-Quran yang mana Allah SWT melarang kita melawan atau pun mengherdik kedua orang tua kita, walaupun dengan perkataan “Oh” sekali pun.

Sewaktu menjadi saksi pengislaman mereka, jelas sekali terpacar keikhlasan dari wajah ibu M.Hidayat tatkala beliau menyebut kalimah shahadah sepatah demi sepatah yang diajar oleh Tuan Imam itu. Begitu juga dengan ayahnya, walaupun stroke dan tidak mampu bertutur, tapi kerlipan mata dan senyum di bibirnya tatkala memberi isyarat “Ya” pada setiap bait Shahadah yang diajar itu begitu mempesona sekali. Bagi saya, malam tadi adalah sebuah kenangan yang terindah buat saya untuk tahun ini.

(Tuan Imam sedang mengajar Shahadah kepada Ibu dan Ayah Muhammad Hidayat)

Bila saya tanya M.Hidayat punca yang menggerakkan beliau memeluk Islam, mengikut ceritanya sudah lama beliau berminat dengan Islam, sejak di bangku sekolah kebangsaan lagi kerana berkawan dengan kawan-kawan sekelas beragama Islam, selepas itu diperkukuhkan lagi keinginannya hasil bacaan dan kaset/cd ceramah agama; bukannya atas sebab pernikahan seperti yang sering kita dimaklumkan.

Malam tadi, dalam perjalan balik, seorang sahabat cakap:

“Untungnya mak dan ayah Muhammad Hidayat, mereka dapat hidayah (masuk Islam) di penghujung usia, jikalah malam ini ayahnya yang teruk kena stroke itu meninggal misalnya, maka insyaallah terus ke Syurga – sebab bersih dosanya seperti bayi yang baru lahir tatkala beliau memilih untuk memeluk Islam. Sedangkan kita yang banyak dosa ini, belum tentu syurga dan nerakanya!”

Ada benarnya juga tazkirah sahabat saya ini.

Walaupun begitu, tanggungjawab kita sebagai orang Islam ialah memberi galakan dan membantu insan-insan seperti mereka yang ada di sekeliling kita. Dalam Al-Quran, surah At-Taubah ayat 60, jelas dinyatakan mereka ini termasuk ke dalam Asnaf yang 8, iaitu di tangga ke 4 selepas Fakir, Miskin dan Amil Zakat

Jika berpeluang, bantulah golongan seperti mereka ini, insyaallah besar ganjarannya menanti kita di SANA.

Sekian, moga kisah ini mampu menjadi tazkirah buat semua.

moniermatdin@yahoo.com
17.9.12
http://dcckkilang.blogspot.com/2012/09/kisah-hidayah.html

9/15/2012

Kalau PAK kita kena hina pun kita marah, inikan pulak Nabi

Tadi 15/9/12, bila terbaca berita muka depan yahoo website bertajuk "Anti-American fury sweeps middle east over film" kat link:

http://news.yahoo.com/anti-american-fury-sweeps-middle-east-over-film-003133374.html

yang mengisahkan demo besar-besaran ummat Islam seluruh dunia membantah filem menghina Nabi Muhammad SAW itu;  jiwa saya macam membuak-buak nak turun pi demo sama; apatah lagi bila berita Yahoo turut memuatkan Malaysia sebagai antara yg negara yg ummat Islamnya turun berdemo, dalam senarai penuh yang berikut:

LIBYA, MESIR, SUDAN, TUNISIA, YAMAN, BANGLADESH, PALESTINE, AFGHANISTAN, IRAN, MALAYSIA, NIGERIA, JORDAN, KENYA, BAHRAIN, QATAR, PAKISTAN DAN IRAQ.

Bila baca berita Malaysiakini pula, turut dimuatkan berita kecaman oleh parti PAS dan UMNO yg mewakili majoriti org Islam di Malaysia terhadap penayangan filem ini.

Alhamdulillah, rasa sedikit lega walau pun tidak dapat turun berdemo - cuma demo dalam hati - tapi sekurang kurangnya rasa puas hati juga sebab secara umumnya, majoriti saudara-saudara seislam kita di Malaysia dan juga di seluruh dunia merasa terhina dan marah terhadap penghinaan kepada junjungan besar Rasulullah SAW ini.

Bila sebut demo pasal orang hina Nabi ini, saya teringat kisah kami turun demo di kedutaan Denmark, Kuala Lumpur sewaktu episod Nabi SAW dihina melalui lukisan kartun oleh kartunis dari Denmark sekitar tahun 2006 dulu.

Sedar tak sedar sudah pun 6 tahun kisah lukisan kartun yang menghina Nabi SAW itu berlalu; bermakna kata kes penghinaan terhadap junjungan besar Nabi SAW ini masih terus-terusan berlaku. Apakah bermakna kita ummat Islam sudah pun hilang hormat di mata dunia atau pun ianya membawa makna bahawa hari ini kaum kuffar khususnya dari barat sudah pun merasa tertekan dengan perkembangan Islam lalu memilih untuk menjadikan simbol Islam seperti watak dan imej Nabi Muhammad SAW ini sebagai
sasaran? wallah hu aklam.

Saya pula berpendapat INI semua sebenarnya adalah satu UJIAN daripada ALLAH SWT terhadap IMAN kita semua, kerana orang-orang alim pernah bercerita, kata mereka:

"Tidak sempurna IMAN seseorang itu sehinggalah Nabi SAW lebih dicintainya berbanding cintanya terhadap ibu dan ayah, anak dan juga segenap manusia, hatta melebihi cinta dan rasa sayang terhadap dirinya sendiri!!"

Bagaimanakah tahap cinta dan kasih sayang kepada Rasulullah SAW? - tepuk dada tanya diri sendiri.

Mungkin secebis kisah beberapa orang rakan dari Kedah turun berdemo di Kedutaan Denmark yang yang garap pada tahun 2006 di bawah ini mampu menjadi iktibar.

Moga ada manafaatnya tulisan saya ini.
moniermatdin@yahoo.com
15.9.12
http://dcckkilang.blogspot.com/2012/09/kalau-pak-kita-kena-hina-pun-kita-marah.html

(DEMO DI KEDUTAAN DENMARK)


Demo Di Kedutaan Denmark
Sun Feb 12, 2006

Assalamualaikum,

Pada hari jumaat 10 hb Feb, minggu lepas, saya ke KL kerana ada sikit urusan peribadi. Perjalanan hari tu mentakdirkan saya bersemayang jumaat di Masjid Kg Baru.

Sebelum solat tu, dok tengok penuh sesak masjid tu hingga melimpah ruah ke perkarangan luar; kaum wanita pun ramai, nampak macam budak-budak U; pakai tudung dengan lilitan kalimah Syahadah kat kepala, siap dengan banner dan macam-macam poster lagi. Bila cek-cek tengok, patut la pun, depa nak ada demo lepas jumaat tu.

Sementara nak masuk waktu, saya pi pekena nasi goreng apa entah kat gerai tepi tu. Tengok-tengok ada wajah-wajah yang saya kenali; mai nun jauh dari utara sana nu.

Sorang tu nama sahabat baik saya, si Apit, full time buat bendang kat Kg Teluk Binu dan Nagalilit di Negeri Kedah. Sorang tu pula depa panggil Cob Nasi Ayam, sara anak bini full time meniaga Nasi Ayam; dan sorang lagi saya tak berapa kenal, tapi Apit dok panggil dia Pak Lang Mid, dalam pertengahan 50an, dok kerja kg dan menoreh getah kat area Sungai Seluang tak jauh dari kawasan Kulim Hitech Park.

Mai sekali dengan depa tu, ada sorang lagi mamat, memang kaki demo, dah berapa kali dah kena cekup dan kena tahan reman; tak sure dia kena cekup sebab dia berdemo or sebab IC dia beralamat Kg Memali, Baling Kedah.

Punya la jauh depa mai dari Kedah sana nu, mai KL semata-mata nak mai demo. Dah la tu, depa rasa kali ni depa macam Peghak (ulu) sikit sebab bagi depa, ni la 1st time depa naik LRT. Ya lah, nak mai direct ke Kg Baru depa tak reti, so depa parking kat mana entah, Dolah Hukum ka apa nama, depa parking kat situ,
dgn bantuan soran kawan yg dok KL, depa naik LRT dari sana terus ke Kg Baru.

Lawak jugak depa dok cerita kisah Pak Lang Mid yg tersangkut tertinggal di belakang masa depa mula2 nak masuk stesen LRT tu; depa dok rush nak pi Masjid Kg Baru sebab depa sampai KL hari tu pun dah dekat pukul 12 dah. Masa dok kelam kabut berebut nak masuk stesen LRT, paling2 belakang tengok Pak
Lang Mid masih dok terkial-kial, dok jolok kad tiket LRT ke lubang tiket tu tak masuk-masuk.

Ya lah, Pak Lang Mid 1st time naik LRT, mana dia reti, kalau suruh motong getah dia tau lah. Tat pa lah, reti tak reti pun Pak Lang Mid jolok jugak; biaq lah orang KL nak gelak ka nak kata apa, Pak Lang Mid
tak kisah, janji Pak Lang Mid boleh naik LRT sampai Kg Baru, boleh pi demo - pi habag kata dia marah dan tak puas hati orang hina Nabi.

Sebetulnya, dah dekat seminggu dah, Apit, Cop Nasi Ayam, Pak Lang Mid dan Basri tidur tak lena, hati dok membuak-buak, mendidih tak kira bila depa dok baca paper dan tengok TV pasal cerita anak haram dari Denmark tu suka-suka saja, lukis kartun Hina Nabi SAW. Marah sungguh depa.

Lepas solat, saya tengok orang berduyun-duyun berarak dari Kg Baru menuju ke kedutaan Denmark. Harakahdaily kata 8,000; CNN kata 3000 org, entahlah yg pentingnya hari tu ramai sungguh org pakat join demo; saya pun sebab dah cuti, terus ikut sekali. Sesak jalan kat area Jln Ampang apa ka nama tu,
keta-keta semua terpaksa berenti tepi. Peliknya x nampak lah FRU-FRU bertopi merah yg si Basri budak Memali tu selalu jumpa tiap kali dia turun demo; mungkin kali ini FRU pun marah gak kot sebab Nabi Muhammad SAW tu bukan saja Nabi kpd Basri, Apit, Paklang Mid dan Cop Nasi Ayam, tapi juga Nabi kpd FRU, kpd SB dan Nabi kepada semua orang.

Ish, panjang pulak saya tulis ni.

Meringkaskan cerita, masa dok demo tu hujan lebat mula turun, dok tengok org ramai tak berganjak pun, masing-masing hanyut dengan laungan kalimah Takbir dan Selawat atas junjungan SAW. Sekali tu, takbir gamat bergema bila ada mamat mana entah, senyap-senyap saja dia bawa turun bendera Denmark; org
ramai menjerit minta bendera tu, mungkin ada yg nak pijak nak bakar ka apa.

Kebetulan saya ada dekat tiang bendera tu, dok tunggu gak bendera tu kena bakar, alih-alih hilang cam tu ja. Ada spy denmark kot mai bawa lari bendera tu...:-))

Lama juga depa berdemo, disusuli dengan ceramah yang membakar drpd lima enam orang VIP yg ada kat depan tu.

Okey gak demo hari tu, tak dak lah huru hara sangat, paling hebat pun org ramai pakat berpusu-pusu pi pelekat poster "Boikot Product Denmark", "I Love Prophet" dsg kat tingkap kaca bangunan kedutaan tu.

Dan, dalam banyak-banyak adegan waktu demo tu, saya begitu impress dan naik kagum dengan sekumpulan dlm 20 orang Pemuda-Pemuda berbaju hitam; saya ingatkan geng-geng Black Metal dara mana-mana, rupa-rupanya depa ini geng-geng Syiah, siap dengan bendera hitam Syiah dan Poster Besar gambar Khatemi ka Rafsanjani ka sapa entah, pemimpin Syiah tu.

Bila dah habih demo, bila pihak menganjur minta semua surai, puak-puak ini tak mau bersurai; depa makin gamat kat pintu masuk kedutaan tu, sambil melaungkan kalimah:

LAIBAKA YA RASULULLAH!!!
LAIBAIKA YA USIN!!

LAIBAKA YA RASULULLAH!!!
LAIBAIKA YA USIN!!

LAIBAKA YA RASULULLAH!!!
LAIBAIKA YA USIN!!

(Berulang-ulang kali).

Bila dok tengok depa naik Syeikh, pihak menganjur bagi amaran akan ambik tindakan kerana menimbulkan provokasi dan minta depa bersurai. Akhirnya depa bersurai jugak, tapi dlm perarakan pulang depa dari bangunan kedutaan tu melalui Jln Ampang menuju ke masjid Kg Baru, sepanjang perjalanan tu depa
pakat berarak melaungkan kalimah tersebut sambil menepuk-nepuk dada:


LAIBAKA YA RASULULLAH!!!
LAIBAIKA YA USIN!!
LAIBAKA YA RASULULLAH!!!
LAIBAIKA YA USIN!!
LAIBAKA YA RASULULLAH!!!
LAIBAIKA YA USIN!!

Saya tergamam seketika, sebab tiap kali perkataan "Rasulullah" itu disebut, bulu roma saya naik meremang, rasa macam nak pi join depa....perasaan marah berbaur syahdu menjelma tanpa diundang; tak tau pasal apa, mungkin betullah kot kata sahabat saya si Apit dari Bendang Kg Teluk Binu tu:

"Kalau PAK kita kena hina pun kita marah, inikan pulak Nabi!!!"


Sekian
Monier_matdin@yahoo.com
13.2.06







4/23/2012

Negeri Kedah: Bukan Setakat Jelapang Padi

Saya ini dilahir dan dibesarkan di Negeri Kedah, anak jati Kedah.

Suatu waktu dulu saya merasakan saya dah habis jalan dah Negeri Kedah ni, dah tak dak tempat nak pi dah, semua tempat dah sampai. Dok ingat macam itu lah.

Bila saya dok ikut kawan-kawan di NGO Wargakilang masuk kg keluar kg di Negeri Kedah ini, baru saya tau rupa-rupanya masih banyak tempat yang belum pernah saya singgah dan kunjungi; dan sesetengah tu punya daya tarikan dan nilai-nilai pelancungan yang tersendiri.



Weekend baru-baru ini misalnya, waktu bersama-sama dengan Team NGO Wargakilang UTARA pi recce/tinjau jalan-jalan yang bakal kami lalui untuk expedisi Jln-Jln Masuk Kg Hari Buruh akan datang ni, kami dibawa ke sebuah perkampungan Nelayan tepi pantai yang begitu indah dan nyaman sekali.

Buaian yang dibuat daripada tali Pukat terpakai ini begitu mengasyikkan. Sekali kita letak kepala sambil dibuai angin laut yang bertiup sempoi, kita boleh jadi terus lena di celah-celah suara ombak yang mengejar pantai. Lupa sekejap tension yg berbuku di fikiran sibuk dok kerja di kilang.

Di kampung sebelahnya pula, ada beberapa warung/wakaf betoi-betoi di tepi pantai - kalau ombak kuat sikit, boleh kena percikan air laut rasanya - bersantai di sini sambil bersembang dan bergebang, boleh larut hingga ke malam.



Yang paling tak dapat dilupakan ialah Mee UDANG special Pulau Sayak ini, cuba hangpa tengok, penuh dengan UDANG, tak nampak MEE pun.


Pekena sepinggan - boleh terus meloncat kolestrol di badan!!

Itu kalau yg berkira sangat bab kesihatan lah, kalau yang tak kisah tu, dua tiga pinggan pun boleh balun.

Untuk pengetahuan rakan2, ini adalah tempat yang bakal kita lalui dalam expedisi Jln-Jln Masuk Kg: Hari Buruh pada 1 Mei 2012 akan datang.



Memang best tempat ini, entah kat mana-mana di bawah pohonan pokok di tepi pantai ini, ada orang pi buat buaian kayu ni, saja lah saya try naik perlepas gian - nasib baik tak jatuh terhumban. Kalau tidak terus mandi air laut lah jawabnya.


Kepada sapa-sapa yg berminat, nak sesekali melihat Negeri Kedah dari suatu sudut pandangan yg berbeda, bukan setakat Kedah yang terkenal dalam buku Geografi sebagai Negeri Jelapang Padi, tapi Kedah juga sebenarnya kaya dengan pelancungan tepi pantainya. Kalau nak tengok Kedah yang tak pernah kita tengok sebelum ini, mailah join kami 1 Mei ini. Bawa family dan anak sama-sama, kita beramal sambil bersantai. Mai lah kalau ada masa, 1 Mei 2012 @ 8:30 pagi tunggu kat Tol Bertam atau pun terus lajak ke Masjid Bertam.

Ada satu keluarga kurang bernasib baik yg akan kita kunjungi nanti, ayah menghilang entah ke mana, emak pula merajuk membawa diri; tinggallah si Abang (20 tahun) menjaga dan membesarkan adik2 nya (kecik2 dan masih bersekolah) seorang diri, apa yg ada itulah yg depa makan. Insyaallah kita akan cuba bantu keluarga ini takat yg mampu.

moniermatdin@yahoo.com
23.4.12
http://www.dcckkilang.blogspot.com

3/03/2012

JJMK Wargakilang: Anak2 Yatim PAYA KETIAU

Malam tadi, waktu orang rumah saya tengah dok kira Fidyah dia dan anak-anak (saya ada 4 anak pompuan) dan juga zakat tunggakan gaji yg diterimanya secara one lump sum baru-baru ini. Dia ada sebut nak pi bagi kat salah seorang anak murid dia yg kini sedang menuntut di Politeknik. Orang rumah saya kata anak murid dia ni anak orang susah.

Saya tanyalah susah tara mana?

Taklah susah mana, ayah dia kerja tapi tak berapa cukup.

Abang dia ada dak?

Ada, kerja, tapi lepas untuk dia sajalah.

Saya kata, macam itu belum tentu jatuh tahap fakir dan miskin lagi itu; risau kot-kot kalau tak termasuk kategori yang layak menerima. Kemudian saya teringat cerita seorang sahabat di Surau sewaktu menunggu solat terawih selepas Isyak tadi, sahabat saya ini ada cerita kisah 5 beradik yatim piatu tak berapa jauh dari rumah saya, yg kini dibela oleh ibu dan bapa-bapa saudara mereka. 5 beradik yatim piatu tak ada punca pendapatan selepas kedua ibu bapa meninggal, cuma mengharapkan ihsan mak dan pak menakan serta jiran-jiran, maka kalau masih belum jatuh tahap miskin, tak tau nak katalah. Suara hati kecil saya mengatakan mereka ini layak menerimanya.

Lalu, hari ini sempena cuti merdeka 31 Ogos, saya telepon sahabat saya tu minta tolong tunjuk jalan pi ke sana, sebuah rumah di tengah-tengah kepulauan bendang Paya Ketiau, Padang Serai, Kedah.

Memang betoi cerita dia; depa ini 5 beradik:

1. Mohd Shafik (Tingkatan 2)

2. Nur Atikah (Darjah 6)

3. Nur Atirah (Darjah 4)

4. Nor azian (6 tahun)

5. Nur Amirah (2 tahun)

Ibu mereka meninggal kira-kira 2 tahun yang lalu, iaitu 12 hari selepas melahirkan Nur Amirah. Sejak itu Nur Amirah dibela oleh ibu saudara mereka, Puan Jasmi Bt Mat Isa, yang lebih mesra dengan panggilan Kak Mek.

Lebih kurang setahun yang lalu, ayah mereka berkahwin lain; lalu mereka pun mendapat Ibu Tiri berusia awal 30an. Suratan takdir kemudiannya, lebih kurang sebulan yang lalu ayah mereka pula pergi mengadap Illahi, diserang jantung di ladang sawit tempat kerjanya; lalu tinggallah mereka semua yatim piatu.

Mengikut Kak Mek, Nur Amirah tinggal bersama beliau, 3 orang lagi tinggal dengan dua orang bapa saudara mereka di Taman berdekatan, dan seorang lagi, Nur Atirah tinggal dengan ibu Tirinya. Setiap hari jumaat cuti sekolah mereka akan balik ke rumah pusaka ayah mereka itu kerana mereka 5 beradik kalau boleh tidak mahu berpisah, hendak terus kekal bersama.

Ada pun mengenai Ibu Tiri mereka, mengikut Kak Mek Ibu Tiri mereka ini bukan asal orang situ, sebelum berkahwin dengan ayah budak-budak ini, sudah pun punyai anak-anak dalam perkahwinan yang sebelumnya. Ibu Tirinya ini mungkin tidak lama di sini. Maka, baru-baru ini dalam mesyuarat keluarga yang dihadiri oleh semua pihak termasuk Ibu Tiri mereka ini, anak-anak itu sedang dalam perbincangan untuk langkah-langkah selanjutnya.

Memang sedih mengenangkan nasib budak-budak ini, apa pun terjadi tidak mahu berpisah, mahu kekal bersama; mungkin kerana itulah kot dalam Al-Quran, Allah banyak menekankan tentang peri pentingnya ahli masyarakat mengambil berat terhadap nasib anak-anak yatim apatah lagi yatim piatu seperti mereka 5 beradik ini. Berat mata kita memandang, rasanya lebih berat lagi bahu mereka dan bahu Kak Mek bersaudara memikulnya; kita doakan moga Kak Mek dan Abang serta Adik lelakinya itu tabah untuk membesarkan mereka.

Sebetulnya, saya tengok Kak Mek pun bukan senang tara mana, silap-silap termasuk dlm kategori orang susah jugak, ada anak-anak kecik 4 orang dan suami hanyalah seorang drebar lori dan Kak Mek sendiri memang tak kerja.






Waktu kami ke sana, cuma si Nur Amirah (2 tahun) itu saja yang ada, yang lain seperti yang dicerita ada di rumah bapa-bapa saudara atau pun keluar jalan ke mana-mana; tak sempat saya nak ambik gambar depa semua, cuma ada gambar comel Nur Amirah ini saja buat renungan.






Lihatlah wajah innocent ini, lahir ke dunia belum mengerti apa-apa, kedua ibu dan ayah sudah pun tiada; bukan bermakna Allah itu kejam tapi itulah yang dinamakan takdir kehidupan. Setiap orang punya jalan takdirnya yang tersendiri, hari ini kita mungkin masih ada ibu dan ayah, tahun depan mungkin semuanya sudah tiada.

Allah jadikan anak-anak yatim piatu seperti Nur Amirah dan abang serta kakak-kakaknya itu bukan setakat sebagai Ujian buat mereka dan juga Kak Mek bersaudara, tapi Allah juga nak Uji kita, nak tengok sama ada kita ini nak ambik berat pasal anak-anak yatim apa pun tidak; dan Allah jadikan juga insan-insan seperti mereka sebab Allah nak bagi peluang untuk kita raih pahala kalau kita nak.

Sebetulnya, saya bukan Ustaz, mengaji pun sekular, jadi tak pandai sangat nak sembang bab-bab agama ini, cumanya waktu dok ajar anak-anak ngaji Quran dan Mukaddam kat rumah, selalulah jugak dok jumpa dlm Quran terjemahan itu bab anak-anak yatim ini.

Antaranya:

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad); apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah?). Katakanlah: Apa jua hartabenda (yg halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: kedua ibubapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan org-org yang terlantar dalam perjalanan" - Al-Baqarah ayat 215.

"Dan, mereka bertanya lagi kepadamu mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itulah saudara-saudara kamu (yang seugama)" - Al-Baqarah ayat 220.

Sedar tak sedar, rupa-rupanya kalau mengikut surah Al-Baqarah ayat 220 ini, anak-anak yatim piatu 5 beradik ini - Nur Amirah, Nor Azian, Nur Atirah, Nur Atikah dan Mohd Shafik - bukan setakat anak saudara kepada Kak Mek dan keluarganya tetapi juga sebenarnya adalah anak-anak saudara kita seugama.

Begitu hebatnya kalimah Syahadah menyatukan kita-kita.

Justeru, 5 beradik yatim piatu ini tidak seharusnya dipandang sebagai tanggungjawab Kak Mek dan saudara-saudaranya semata-mata, tetapi sebenarnya adalah tanggungjawab kita semua bersama.

(Kak Mek tinggal di Kg Paya Ketiau, Padang Serai Kedah; kawasan bendang tepi Taman Damai Padang Serai, Kedah)

moniermatdin@ yahoo.com
31.8.09

[Berikut adalah gambar 5 beradik yatim piatu ini yg dirakamkan sewaktu JJMK Wargakilang bulan Ramadhan 2009.]


Maklumat setakat 3 Mac 2012: 3 daripada 5 beradik ini kini tinggal di Rumah Anak-Anak Yatim, dua yang kecil bersama Kak Mek. Bila cuti sekolah, kesemua 5 orang ini akan berkumpul dan tinggal di rumah Kak Mek

2/14/2012

Kisah Wahab Sahabatku

Assalamualaikum,

Saya amat tersentuh apabila membaca email sdra Wahab di bawah ini, sebabnya sudah dua tiga tahun rasanya kami berkawan semenjak ditakdirkan Allah SWT kami bertemu tidak sengaja di medan siber, dan seterusnya membawa kami ke dalam aktiviti Jalan-Jalan Masuk Kampung NGO Wargakilang ini; sepanjang tempoh itu, sewaktu bersembang riuh rendah dalam kereta dok pi masuk kg keluar kg tu, tak pernah sekali pun Wahab cerita kisah latar belakang diri nya sebagai anak seorang Pengemis.

Ya lah, bukan saya nak kata kerja Pengemis itu Hina, tapi Wahab memang tak pernah cerita pun kisah hidup ayah dia ni.

No wonder lah Wahab komited sungguh-sungguh dengan kerja amal dan kebajikan ini. Saya masih ingat lagi sekali tu, Wahab demam kurang sihat, lali ja dok dalam kereta, kami kata tak payah pi lah, dia kata dia nak pi jugak.

Hari tu kami pi ke satu rumah Nenek Tua nun jauh di hujung rimba; kereta Naza saya tu parking punya jauh, tak berani cross titi sungai sebab titi tu nampak macam muat cukup-cukup 4 tayar saja, tak ada penghalang kiri kanan; saya dok risau kalau stering kereta kiat (bengkok) sikit saja, dum!! terbabas masuk ke dalam caruk sungai.

Rumah Nenek ni memang antik sungguh, rumah jenih guna tiang kayu lama, bawah rumah macam tempat binatang berkubang or lembu kambing tidor, kena panjat tangga jenis yg dibuat drpd batang pokok kayu yg ditakuk-takuk untuk naik ke jemuran/pelantar rumahnya.

Jemuran/pelantar pulak macam nak runtuh dah. Lantai rumah dibuat drpd kayu-kayu bulat or kayu-kayu hutan yg disusun rapat-rapat. Bumbung berselang seli antara atap rumbia dan atap zink yg dah berkarat, bocor sana sini. Dari jauh, rasanya rumah tu nak kata sebijik pun boleh jadi jugak sebijik macam rumah2 atas pokok kayu macam di Papua New Guinea yg kita selalu dok tengok dalam rancangan National Geographic tu.

Kami adalah ambik gambar rumah Nenek tu dulu, tapi saja x tulis cerita dia, sebab kalau kisah nenek-nenek tua yg tinggal ke keseorangan di kampung-kampung ini, sebenarnya itu adalah perkara biasa untuk masyarakat kampung, hatta di kampung saya nu pun Makcik saya yg dok tua tu yg depa panggil nenek munah tu, dia prefer dok sorang-sorang dengan ayam itik dan lembu kambingnya; jadi tak ada apa sangat yg nostalgis or yg tragis pasal kisah nenek-nenek tua yg tinggal keseorangan itu; bagi mereka asalkan ada beras dah cukup dah, hat lain cuma depa pi cari pucuk-pucuk kayu dan ikan-ikan sungai ja.

Lepas bagi beras dan sumbangan, kami pun bertolak pulang. Half-way nak sampai rumah, Wahab minta saya berenti...terus dia bukak pintu, terjun keluar kereta...."Uwwekkk! !...", Wahab muntah keluar muntah hijau. Lepas tu, hampir terduduk dia, uwweekk....muntah lagi....

Rupa-rupanya, dia nak muntah sejak nak pi tadi lagi, dok tahan, dok tak pa tak pa.....last- last muntah jugak!!

(Dalam dok kelam kabut muntah tu, siap boleh minta maaf lagi kot-kot kalau dia ada termuntah dan mengotori keta saya tu...)

Dia cakap, dia penin, demam dan rasa tak sihat badan.

Kami kata:

"Tu lah Wahab, kami dah pesan tadi, kalau tak sihat tak payahlah Wahab dok gagah pi...kesian kat Wahab"

Wahab jawab:

"Muntah di dunia ini Munir, kecik saja ni, sikit saja ni. Hat akhirat nu lagi penting...!! "

Wahab kata, muntah penin demam etc dalam membuat kerja-kerja kebajikan ni is nothing, tak ada apa-apa haih kalau nak dibandingkan dengan ganjaranNYA di Akhirat kelak.

Sampai hari ini saya teringat kata-kata Wahab tu, dulu-dulu dok wonder jugak mai manalah Wahab punya strength untuk membuat kerja-kerja amal ini, tapi bila terbaca email Wahab di bawah ini, kisah True Story pasal diri dia anak seorang Pengemis, hari ini saya fahamlah kenapa Wahab amat bersungguh dalam kerja-kerja kebajikan ini.




(Sdra Wahab, berbaju ungu di sebuah teratak ber-attap rumbia, jauh di pedalaman)


(Wahab, berbaju Melayu, mengepalai aktiviti Korban NGO Wargakilang di sebuah pondok di pedalaman Sik, Kedah)

Dari kejauhan, kita doakan mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa merestui dan memberkati sahabat baik kami, Mohd Abd Wahab Bin Pakcik Isa ini. Moga Wahab seisi keluarga akan sentiasa dilimpahi rahmatNya yang melimpah ruah, Amin!!

wsl
Monier

---------------original message-----------------

From: wahab

Assalamualaikum sahabat semua

Terima kasih munir updatekan perkara ini pada kami semua, dan disini saya ingin sentuhkan serba sedikit kenapa saya berminat tentang kerja amal dan selalu sangat bersama dgn munir dan sahabat yg lain dlm aktiviti wk, yg pada dahulunya saya bergerak secara sendiri sehinggalah saya bertemu dgn saudara munir dan saudara warikh.

Banyak mana yg telah kami buat, saya sendiri tak ingat dan saya sendiri tak ingin mengingati, kerana bagi saya biarlah memberi tangan kanan sehingga tangan kiri tidak mengetahui, faktor utama yg saya bersungguh sungguh adalah kerana pengalaman saya sendiri yg dilahirkan didalam keluarga miskin, dan dari kemiskinan juga membawa kepada perpecahan keluarga ibu bapa saya sendiri, bercerai berai dan didalam takdir tersebut bapa saya menjadi pengemis

Bapa saya mengemis utk dptkan makanan dan perkerjaan, pada waktu itu saya baru berumur 16 tahun dan apalah sangat yg mampu saya lakukan, dgn kekuatan yg ada saya ketepikan pelajaran dan berkerja sebagai buruh utk menampung hidup, dan juga bertekad utk merubah nasib ayah saya, alhamdullilah Allah swt mempermudahkan usaha saya, dgn berdikit saya menampung hidup dan dgn tabungan juga saya meneruskan pelajaran, serta mana apabila habis utk spm saya meneruskan kerja sebagai buruh membina jambatan PP, dengan wang tersebutlah saya meneruskan pelajaran secara part time selama 6 tahun, bertitik tolak dari situ ianya banyak merubah nasib saya sehingga kini dan juga kebajikan Ayah saya yg tercinta

Berbekalkan pengalaman itu, pengalaman ayah saya sendiri sebagai pengemis pada asalnya ada keluarga ada anak anak dgn perjalanan takdirnya dan didalam ujian kemiskinan, akhirnya tewas pada perpecahan, sebagaimana lahir dlm kelurga miskin saya telah melalui karenah masyarakat ianya tidak perlu menjadi pencuri, cukup apabila lalu berhampiran dgn rumah orang dah dianggap sebagai pencuri, begitulah bodoh dan tololnya masyarakat setempat saya pada waktu tu...dan kesan tersebut dapat saya rasai sehingalah ke hari ini.

Apa yg nak saya sentuh sangat disini adalah jangan mempertikaikan apa yg dibuat oleh orang lain tapi lihatlah apa yg telah kita buat, seseorang itu tak akan merasai perit jerih sehinggalah dia sendiri yg melalui.

Semoga menjadi pengalaman pada sahabat-sahabat semua, dan ingatlah Allah Swt menguji kita sekadar dgn kemampuan kita dan begitu juga dengan pemberiannya sekadar dgn kemampuan kita semua.

Jgn lihat pada kemiskinan orang tapi lihatlah berapa banyak pahala yg kita boleh kutip dari kemiskinan mereka, dan dalil kepada perkara ini "sedekah itu umpama 7 biji benih, menghasilkan 7 tangkai dan dari tujuh tangkai menghasilkan 70,000"

Wassalam
Wahab Isa.

Followers