Di Celah-Celah Kesibukan Kilang

DI CELAH-CELAH KESIBUKAN KILANG(Sebuah blog kehidupan yang memuatkan beberapa koleksi tulisan Monier Mat Din)

10/09/2009

Jln-Jln Hari Merdeka: Sebuah Rumah di Kaki Rimba

Antara koleksi tulisan terawal Jln-Jln Masuk Kg NGO Wargakilang: 31 Ogos 2004

Dalam perjalanan seterusnya cikgu Basri membawa kami ke sebuah rumah usang yang terletak nun jauh di pinggir rimba. Rumah yang terletak di penghujung kampong di sempadan Kedah/Perak antara Mahang Kedah dan Bertam Perak ini dihuni oleh adik Nursyuhada 15 dan adiknya Syahidah 13 beserta ayahnya Pakcik Usin 46 tahun.

Ketika mengekori motor cikgu Basri mencari arah ke rumah Pakcik Usin ini, jenuh juga kami terpaksa berhenti sana sini. Sebabnya ialah kerana cikgu Basri sendiri tak berapa pasti jalan ke situ. Bila cikgu Basri bertanyakan di mana rumah adik Nursyuhada kepada seorang anak muridnya di kampong itu, budak tu cakap:

"Rumah dia...nuuuu...dok jauh dalam hutan nu cikgu!!"

Kata Sabki (geng Wargakilang dari Mahang) pula sambil melawak:

"Tu dia aih, dah la Mahang ini pun depa kata Ulu dah..... Ini duduk di dalam hutan pulak di Ulu Mahang....lagi la jenuh!"

Rupa-rupanya apa yang dimelawakkan oleh Sabki itu bukan lawak, memang sungguh pun.

Oleh kerana kereta tak boleh masuk, kami terpaksa menapak berjalan kaki meredah denai, jalan dusun dan hutan getah menuju ke sana. Saya tak pasti berapa jauhnya rumah tersebut dari jalan besar, tapi cukup jauh hinggakan anak-anak Wahab yang 2 orang tu (dalam gambar di tepi perigi) mengeluh tanya awat la jauh sangat. Nasib baik cikgu Basri bawa motor, tak payahlah dua orang anak Wahab tu jalan kaki ke sana.

Sesekali meredah pinggir hutan memang menyeronokkan. Bila mendengar bunyi riang-riang dan cengkerik rimba berlawan irama, rasa satu macam ketenangan bermain di jiwa. Lupa sebentar suasana riuh dan sibuknya tempat kerja.

Namun, bagi mereka yang tak biasa dengan suasana denai hutan macam tu mungkin agak gabrah juga; misalnya waktu tengah dok meredah lorong kecil antara celah-celah hutan getah dan kawasan dusun, ketika seorang sahabat dok cerita pasal bekas-bekas kesan tapak kaki babi yang ditemui, tiba-tiba ZASSSS!!!!.....sdra Rashid tiba-tiba macam terperanjat nak angkat cabut lari. Saya pun tumpang terkejut, dok ingatkan sang Babi, rupa-rupanya sekoq lembu secara tiba-tiba meluru keluar daripada celah-celah semak hutan tu betul-betul di hadapan kami. Terkejut beruk kami!

Jauh juga perjalanan ke rumah pakcik Usin tu, peluh la jugak. On the way, kami ternampak satu bangsal kecik mungkin tempat org tunggu durian atau tempat rehat; kami singgah sekejap melepas penat di situ. Jalan punya jalan, ikut kebun dan jalan hutan, last-last kami sampai juga ke rumah pakcik Usin. Beliau tak ada di rumah, yg ada cuma anaknya adik Nursyuhada 15 tahun dan 2 org teman sepermainannya dari kampong yg sama.

Terkejut juga adik Nursyuhada ini bila melihat rumah ayahnya yg jarang-jarang menerima tetamu tiba-tiba entah sapa-sapa yang datang; dah la muda-muda belaka, ramai pula tu. Nasib baik ada cikgu Basri menerangkan tujuan kami datang.

Rumah ayah Nursyuhada ini nak kata rumah pun, boleh lah kata rumah; tapi bagi sesetengah orang mungkin lebih kurang macam bangsal saja. Bangsal ka apa ka, di rumah inilah pakcik Usin membesarkan Nursyuhada dan adiknya Syahidah sejak 15 tahun yang silam, seorang diri tanpa seorang isteri di sisi.

Bila ditanya adik Nursyuhada mana ibunya; macam segan saja dia nak cerita. Ibu dan ayahnya sudah lama berpisah seusia beliau masih belum darjah satu lagi. Tinggallah beliau dua beradik dengan ayahnya di situ sementara adik bongsunya yang kini dalam darjah 5 mengikut ibunya.

Ketika kami di sana, ayahnya tiada di rumah kerana tidak seperti majority kita yang dianugerahkan cuti sempena hari Merdeka; pakcik Usin terpaksa bertugas meneruskan kerja hariannya menjual pucuk paku di pekan-pekan berhampiran.

Menurut Nursyuhada, ayahnya cuma ada di rumah selang sehari; iaitu sehari mengutip pucuk paku dan sehari lagi ke pekan menjualnya.

Kadang-kadang bila kelapangan adik Nursyuhada turut sama-sama membantu ayahnya mengutip pucuk-pucuk paku yang kami lihat banyak kedapatan di kawasan berpaya berhampiran, dan antara rutin beliau bila pulang dari sekolah ialah membantu ayahnya mengikat pucuk-pucuk paku mengikut timbangan yang tertentu.

Sekali fikir tentu tekanan hidup yang cuma berayah tanpa ibu di sisi dan terpaksa pula membantu ayahmencari rezeki dalam usia yang masih mentah tentunya mengganggu konsentrasi pelajaran anak-anak ini. Tapi, kami agak terperanjat bila diberitahu yang Nursyuhada ting 3 dan adiknya Syahida ting 1 itu masing-masing mendapat no 3 dan no 5 dalam Peperiksaan yang lalu.

Kira hebat sungguh la anak-anak pakcik Usin ini.

Lagi satu, kami naik kagum dan respect dengan keberanian dan kecekalan hati anak gadis dua orang ini. Bayangkanlah tiap-tiap pagi kayuh basikal sejauh 4 batu tunggu bas untuk ke sekolah, meredah jalan hutan di pagi buta dalam suasana subuh kelam yang mungkin masih gelap gelita. Kalau calang-calang orang tak berani punya!

Tabah sungguh nampaknya anak-anak pakcik Usin ini berhadapan dengan reality hidup; dan tentu tabah lagiayah mereka yang membesarkan anak-anak tanpa seorang insan bergelar isteri di sisi, tanpa seorang ibu tempat anak-anak mengadu, nun jauh di kaki rimba hanya berbekalkan pucuk-pucuk paku dan hasil hutan sebagai sumber pendapatan. Beliaulah ayah beliaulah ibu untuk anak-anak tersayang.

Kami tak pasti berapa banyak pendapatan bulanan pakcik usin hasil jualan pucuk paku itu, tapi rasanya cukup-cukup makan saja; nak beli benda-benda lain terutamanya belanja persekolahan anak-anaknya itu mungkin kurang berkemampuan.

Bila menjenguk ke dalam rumah, kami dapat rasa anak-anak pakcik Usin memang paham dan cukup paham dengan ketidakmampuan ayah mereka ini. Lihatlah tulisan tangan anak-anak pakcik Usin ini di dinding rumahnya:

Nota Untuk Ayah:

"Cikgu Minta Duit Hari Kantin. Cikgu Minta Duit Yuran (RM24). Bayar Lambat Tak Apa!!"

Tiada kata-kata yang mampu kami gambarkan tatkala menatap tulisan itu, seribu satu keharuan menerpa di lubuk dada. Mungkin itu sudah ketentuan nasib dan rezeki anak-anak pakcik Usin dan Pakcik Usin sendiri untuk menerima ujian hidup yang sedemikian. Moga mereka bertiga akan tabah menempuh hari-hari yang mendatang.

Sebelum pulang, sempat kami tinggalkan pesan kepada adik Nursyuhada untuk terus keep it up dengan keputusan cemerlang dalam pelajarannya, moga suatu hari nanti beliau akan mampu jua melangkah keluar daripada kemelut hidup yang sedang dihadapinya. Sebelum itu sempat kami hulurkan barang-barang keperluan harian sebungkus dua beserta sedikit sumbangan peribadi.

Dalam perjalanan pulang sempat saya tanyakan kawan-kawan yang lain apa lagi yang mereka nampak yang saya tak nampak. Kata Rashid atau Wahab, "Kesian depa, tandas pun pakai tibai atas batang Nyior Nan Sebatang aja!!"

Tak banyak yang kami bualkan dalam perjalanan pulang meredah jalan hutan yang kami lalui tadi; mungkin masing-masing jadi agak terpana kerana tak sangka di celah-celah keriuhan mat-mat motor mengibar Jalur Gemilang sepanjang perjalanan kami ke Mahang pagi tadi, rupa-rupanya nun jauh di kaki rimba di ulu Mahang sana nuu masih ada lagi anak-anak bangsa yang hidupnya sebijik macam kata pepatah Melayu lama:

"Kais Pagi Makan Pagi Kais Petang Makan Petang".

Moga tulisan ikhlas pengalaman kami menyambut Hari Merdeka yang ke-47 ini akan ada manafaatnya untuk rakan-rakan sekelian.

monier_matdin@yahoo.com


1

1 comment:

  1. sungguh tabah mereka lalui kehidupan ini...tahniah utk adik Nursyuhada dan adiknya yang walaupun serba kekurangan tetapi pandai dlm pelajaran....semoga mereka besar nanti menjadi anak2 yang berjaya dan membalas jasa ayah mereka...aminnn

    ReplyDelete

Followers